Showing posts with label original poem. Show all posts
Showing posts with label original poem. Show all posts

Wednesday, July 1, 2009

tuduh

semuanya dalam diam
junjung elok dalam talam
alas sutera mewah berjurai
lembut tangan melambai
dihidang harapan palsu
dibalas penantian sarat ragu
jangan mengusul mahu bersua
andai niat tak seikhlas mana

semuanya dalam diam
mujur ku tak berdendam
ya - melawan kebiasaan
walhal itu santapan harian
cetus bertubi-tubi
tumpah darah hingga ke kaki
enak - itu benar
membiar tuduh membangkit samar

semuanya dalam diam
berbaur halal haram
kerap itu bukan nyata
sekali-sekala itu jawabnya
sibuk bukan alasan
kalau aku boleh, masakan...
penghargaan kebiasaannya dijeling
jijik agaknya, walau disaring

semuanya dalam diam
aku takkan meletupkan tenteram
segalanya terpulang
takkan ditangkap, takkan dilayang
aku ikhlas menghulur tangan
digigit kejam itu balasan
naif - aku mengaku
tapi tak pernah sehina diri mu

diam

menyusun kata ternyata sulit
silap sepatah membawa sakit
menzahir niat tangan digigit
elok diam menelan pahit
susah senang bahagia perit
dikongsi mudah harapan terbit
beban diringan dilimpah kredit
duga menerus menganyam ungkit

niat ada sangka diperkenan
tenggelam syak mendesak penambahan
apa yang ada didahulukan
yang tidak nampak mati perjanjian
pemberian mewujud penerimaan
elok dibingkis direntap berhamburan
selagi ada walau dedebu kesabaran
takkan diimpi sekelip perubahan

manusia tetap manusia
diberi betis merampas paha
kalut alasan punca
hingga dihukum setiap kepala
selama mana hayat nista
bila membisu kan mati jua
jangan asyik menilai kaca
seutuh permata takkan sempurna

buka pintu

bila ku buka pintu
aku tak pernah menunggu mu
masuk tak mengetuk - aku biarkan
keluar biar seorang - jangan berteman
setiap susun atur - aku tahu
hilang, beralih tempat - itu mengganggu
walau kaku - ia memberi aman
ubah - kau didorong kepentingan
mungkin kerana besar pangkat
kau telah melupa hormat

bila ku buka pintu
lumrah mu masuk meluru
jangan dikenang salam - tiada
senyum - dalam mimpi pernahkah ada
nyaring menegas maksud
macam dirimu saja yang wujud
meronda, meneroka, menggeledah
sakit anggota, hati dan lidah
mungkin kerana besar pangkat
biadab menjadi pengukur takat

bila ku buka pintu
buangkan celaru
aku perlu udara
bukan jerebu dari Sulawesi dan Jawa
menyamar itu kepakaran
mendahulu puasa daripada menyembah Tuhan
dosa tetap dosa
meringan hanya kerja-Nya
kau tahu jalan keluar
ambil langkah selagi ku bersabar

jauh, tapi...

ada menyangka
aku kan bersorak suka
musuh-musuh ku jauh dari lubuk hipokrit
yang punya konco-konco bukan sedikit
menjunjung istilah "teman sejati"
berjimak luar tabii kala khatam aktiviti
beradu lengan otot tersembul
berakal pendek bermulut cabul

mungkin aku suka
jauh mereka menterjemah kurang quota
tapi ada aku kisah
biarlah sampai mengalir darah
maaf takkan sekali diizin mengetuk
rasa jiwa yang lama remuk
diperlaku umpama pembawa sial
makin merapat makin janggal

musuh tetap musuh
status takkan luruh
bijaksana di dunia mengumpul riak
kering pahala mencanang hak
hak apa
hak dipuji menjulang ke syurga
walau masing-masing tahu takkan ke sana
bau kasturi menjauh kepala

nyata tiada beza
melainkan dipisah dari bumi fana
itupun andai mereka sedar
ingatan ku semakin pudar
maaf takkan ku layangkan
sapulah badan dengan losen penyesalan
tiada punca - aku dibuang
walau gah kau tetap usang

ada menyangka
payah untuk ku mencari cahaya
kerana mereka telah jauh, tapi...
darah tetap darah, api tetap api
jarak bukan penentu murni
hati kan lembut seraya memaafi
tidak sekali-kali
mereka memulai, wajar jua mengakhiri

sempurna bukan matlamat
memadai selamat dunia akhirat
walau retak dahi menyembah
laku mengkaca jelas fitrah
bersyukurlah aku sanggup mengenal
walau akhirnya aku ditinggal
sila - nikmatilah sisa hidup yang ada
kemaafan ku milik yang berhak sahaja

tohfa

kala dipandang
nescaya bangkit kenangan
ikatan terakhir yang menyambung
hubungan yang telah lama di hujung
saiznya berbeza-beza
harganya bukan soal utama
wajarkah disimpan
atau dinafi kewujudan

tangan yang menghulur tak lagi menyapa
hilang kuasa dikawal pangkat dan kerjaya
pemberian sangat indah - itu pasti
bila diserah, ikhlaskah hati
diterima - terhutang budi
dibalas - tentu sekali
dipamer, dipakai - tanda penghargaan
yang menghadiahkan - kukuhkah ingatan

tohfa, tohfa dan tohfa
umpan semata
kala dipandang
ingin saja dibuang
biarlah berhabis menjadi jahat
asal hipokrit jangan melekat
ujar di mulut - bersahabat
realitinya aku sudah mati tak dilawat

Sunday, June 14, 2009

syok sendiri

membelakang Tuhan, menyongsang adat
demi janji kurniaan laknat
dicanang aib yang klise
walau bebal menyebut Givenchy
ah, budak-budak (atau "adik-adik")
takkan berhenti walaupun tersedak
ego pemacu pantas kesudahan
walau belum rasmi di petak permulaan

rupa paras - GAGAL
attitude perasan sundal, tak cukup modal
jubur menganga walau dikemut
puki merembes isi yang reput
kurus kerempeng kini stail
semacam SMS, malas mendail
bulu di muka sejemput cuma
riuh sekampung mengaku wira

oh, come on lah
sarkasme mu sangatlah murah
bertautlah pada kafiyyeh moden mu
bersilang melindung leher, gah di bahu
ya, gunanya bagi mu melindung cela
sedang aurat masih terbuka
kukuhkah jahitannya atau kan tetas
aku hanya duduk saja - dendam terbalas

adik-adik yang young at heart
please think again - you aren't that smart
agungnya lifestyle mu kitar semula
lacks originality, tiada aroma
setakat bulu di muka sejemput
duduk tahiyat pun sakit lutut
belajarlah berfikir
rezeki, bala bergilir-gilir

kau rasa kau hebat
dipuja sejagat - sepalsu nikmat
adab sosial dalam genggaman
kau lupa perikemanusiaan
walau bersih tapak tangan
itu tugas cecair penyahkuman
your "innocence" have trapped you, silly
sebelum murka Tuhan turun ke bumi

adik-adik yang young at heart
alam makin tua, senja akan tamat
cubalah berubah
akal jangan lemah
nama - bunyinya kampung tapi sarat makna
jangan diubah dek goda masa
ahead of you, lies a wonderful life
...which i highly doubt, you'd survive

buka mata

datang bala menghancur sempurna
diiring senyap melengkap susila
petanda menguji tajam mata
dirungkai degil dek dihanyut persona
buku dan ruas bertemu jua
kononnya benar disokong syurga
bila terasa segenap indera
rebah menyembah menyingkap hina

mungkin bukan takdir seada
hijab terbuka mengukuh tipu daya
yakin memakan berleluasa
nasib tak mampu melindung selamanya
perlekeh lagi aku dan rasa jiwa
gelak lagi aku sampai ke neraka
menidak menafi hak istimewa
bukan untuk ku cuma tapi kau juga

tsunami yang personal

transformasi yang disuara
aku tak lagi kenal dia
bagaimana harus menelan
manis yang mendadak - memualkan
walau dia matang
keanak-anakannya terpampang, direntang
aku kira betul juga
akibat pengaruh rakan sebaya

jalan ceritanya tidak panjang
sekadar "habis manis sepah dibuang"
bermain kata itu wajib
tenang meluah laksana rahib
keaslian itu samar
pembohongan turut tercemar
aku pasti arah tidak wujud
ada, tapi tak sampai maksud

katanya dia serba baru
mengharapkan aku tertipu
selama mana kan bisa terbang
selama mana bisa membangkang
rasa seluruhnya kebas
menafi belas
hematnya dia gagah
seampuh sarung getah

aku tahu senyum itu bukan tulen
lenyap bersama terampil wajah yang dulu bolen
perubahan - katanya
peniruan - lebih nyata
sarat aktiviti
bersatu tapi tidak sehati
bayaran untuk diterima
golongan yang takkan jejak syurga

16 kali setelah bulan penuh
masih mengerah kudrat menyuci seluruh
mungkin sumpahan agaknya
mengingat yang menyeksa
kata mereka hulurkan maaf
demi melega gusar saraf
maaf takkan dianugerah
selagi janji dimungkir megah

melupa kan terus dicuba
aku tak mahu lagi mengenalinya
klise - seragam hijau, seragam putih
fi'il bukan orang tuanya memilih
biarlah dia mengimpi tubuh Sonny Markham
merenung mata Corbin Fisher's Dawson sampai pitam
mengulum Ken Ryker hingga lemas
Hepatitis dibawa sumpahan balas

Tuesday, May 5, 2009

seri dinding

mengapa dia melukis hampa
deras mengalir titis-titis kesal di pipinya
ditelan pahit yang lama luput
ditenun sabar tak bersambut
kanvas diwarna rasa
terpalit corak mereka duka
dinding hatinya mampukah bertahan
dipaku berani menggantung pameran
jadi perhatian
mata sarat kritikan

mengapa dia melukis hampa
menenun sabar yang merapuh saat mengenangnya
walau kanvas dibiar putih
luka berkurun takkan pulih
sutera murni tiada erti
halus tenunan mengkaca mati
hidup ditadbir rancangan semata
kan bergelora hingga penghujungnya
dinding kan kembali sepi
mata memerhati menjauh lari

mengapa dia melukis hampa
tenunan tak membuah peka
kanvas suci telah ternoda
lari ulangan corak di sutera
takkan bisa ditafsir
luah rasa membazir
kasih sayang cinta semuanya
dikerah menutup cela
dinding, sutera kosong kan tetap berkata
dirinya indah seluas mata

sebelum ulang tahun pertama

you're free now - dia menyata
berat - tapi aku terima
lenyap rasa
hilang cinta

hampir setahun berdua
maya - tiada sentuhan, bicara
cerca khalayak ditempuh selagi upaya
sabar mempertahan teruji sentiasa

namun panas ada tikanya
takkan dimaklum masa tamatnya
yang bermula ada pengakhirannya
walau terjamin titik selesanya

dia punya cita-cita besar
tuju hidupnya berbeza tapi wajar
hadir aku teruji jiwanya, sukar
persefahaman perlahan pudar

aku ditinggalkan penuh hormat
janggal - tapi tak cacat
doa ku dia selamanya selamat
walau dilarang bersua di akhirat

lepas segala peranan
bebas dari beban perasaan
dia kan sentiasa di ingatan
merona sunyi kehidupan

Wednesday, March 25, 2009

bukan nuansa

serlah warna tetap kekal
abadi diselubung kebal
bertahan dari serang senyap
buah ilham dan cakap-cakap
begitu begini begitu begini
kerjakan jangan ingkari
lantas dilontar ke langit lepas
pandangan persis bebas terhempas

lagaknya umpama kenyataan biasa
tak siapa tahu perintah sebenarnya
hadir nuansa tiada maksud
bila jarak ubah tak wujud
rapi, teliti - bukti diselindung
bongkar, geledah - takkan sampai bumbung
cermat menyembunyi jerat
masih belum terbukti hebat

andai dinganga, dibuka luas
sekecil penjuru tak dilepas
rebah tak semena-mena
belum luput tarikh baiknya
semua punya tanggungjawab
semai makna dalam nasab
jangan doakan diwarisi
biar kontang isi perigi

Wednesday, March 4, 2009

jaminan

saban hari meninggal jejak
adakah ingkar berganjak
atau sudah menjadi tabiat
singgah sekadar melihat-lihat
mana jaminan mu
takkan lagi mengganggu
puas kau canang sedunia
bahawa kau sebenarnya mangsa

berhentilah menipu aku
dia, mereka dan juga diri mu
kita sememangnya asing
hakikat tak perlu bising
kesempatan kau ambil semuanya
memperdaya selagi ku leka
namun spesis mu aku percaya
setinggi mana kan tetap hina

petah

empat cerita berbeza
lain latar, satu agama
lain usia, satu sifat
ringkas dirumus namun padat
dua lelaki, dua perempuan
tidak alim namun bertuhan
dikumpul semua bijak berhujah
sampai ke tua tetap petah

anak bongsu katanya
zahir menidak fakta
rencana mesti dilaksana
enggan menyerah sebelum berjaya
enak hidup selesa
namun tak pernah terbiasa

halangan baginya kecil
anak bangsawan berketerampil
fahami sebelum hakimi
ilmunya seluas bumi
darahnya tetap merah
zahirnya tetap bermaruah

nadinya takkan berhenti
ada saja yang ingin dikongsi
duri dibayar duri
ikhlas dibayar takkan sunyi
anak sulung bertanggungjawab
hidup tak pernah melupa kitab

sayangnya dia bukan lagi kawan
hanya kurang setahun bertahan
ideanya bukan sedikit
dia memang tak pernah hipokrit
elok dia menjauhi
emosi baginya setara mati

syurganya terkunci

bangga dia menerima ganjaran
sebaris mereka yang berkelayakan
akhirnya ringan segala beban
bayaran kesabaran menjauh larangan
pandang tertumpu ke penerima pertama
melangkah yakin puas di mata
yang kedua juga serupa - lepas
begitu juga yang seterusnya - bebas

tiba saat yang lama dicita
gugup berbaur suka
didahului kaki kanan
namun kebas seluruh badan
langkah diatur semula
mungkin hanya perasaannya
didahulu kaki yang sama
akibatnya masih serupa

dipersila mereka yang di belakang
semua mara tanpa dihalang
gusar mula menguasa
ini lawak atau apa
segalanya cukup lengkap
mengapa ini perlu dihadap
lontar pandangan ke arah pemberi
tak dikesan wajah pasti

dia lupa menuntutnya
identiti penting penerima
mungkin terlalu gembira
teruja langsung lupa
kali ini berjaya bolos
terbau semerbak ros
tadi tiada bukti dia penghuni
jadi syurganya terkunci

silap aku

walau sempurna bukan jaminan
dia kan selamanya pujaan
senyum tak sampai
sentuh tak tergapai
yang disaksi hanya kelibat
belum tentu memanjang hayat
walau diselam sedalam mana
saat timbul yang tinggal sisa

Tuesday, March 3, 2009

tunggul kayu

menunggu bukan bakat
menadah tangan menanti firasat
baru menyingkap yang tersirat
saat mereput yang jelas tersurat
launglah selantang sepanjang harkat
andai mahu beradu hebat
tutur kata memang memikat
sudah dibebas jangan mengikat

sayang bagi mu sudah murah
jatuh nilai sejajar ucap lidah
kini masanya untuk gah
meminta bertambah-tambah
tidak diturut bertelagah
diamati tak ubah sampah
tunggul kayu punya maruah
pantang di kancah menyerah kalah

lepaslah aku pergi
tiada guna ku kasihani
tangisan walau satu perigi
takkan daya memadam api
seksa ku takkan tanggung sendiri
tak tersekat limpahan kreativiti
biarlah aku berteman sepi
bayaran takkan disakiti lagi

walau kaku tunggul kayu
punya rasa berlandas seru
jangan perlekeh kuasa di bucu
andai terkena berlagu sendu
tutur kata tak lagi laku
sembilu kan dibayar sembilu
hari ku mungkin ungu
namun tak segelap tuju hidupmu

Tuesday, February 17, 2009

secukup rasa

bila ku lihat mu kali pertama
nyenyak dibuai lena
aku tidak keseorangan lagi
akhirnya ada yang menemani
memang kita berbeza
namun itu bukan halangannya
berkongsi kisah, impian, teladan
tubuh mu sarat kehidupan

kata-kata mu menyenangkan
tulus, telus, tiada sempadan
bohong andai ku kata ku tak berhutang
dengan mu budi, persahabatan, kasih-sayang
kau mungkin lain
tapi kau tetap ingat kau muslimin
kau tak pernah lupa
mengingatkan ku kau juga manusia

uji datang, bertentang rasa
berakarkan khilaf dek kurang peka
tiada kata didagang
hanya kemarahan lantang
sukar bertentang mata
bersua muka kerana terpaksa
maya jadi medan
menguji kesabaran, menagih kefahaman

tapi tiada benda yag kekal
kerana kau cekal
melayan kejengkelan berupa aku
penuh ragu, keliru, cemburu
kita menjernih semula
menjaga yang telah dibina
kau matang, adil menimbang
gagah mereda yang tegang

bakat mu besar
rugilah mereka yang tidak sedar
walau diri mu disalah erti
teman-teman mu setia di sisi
bergegas bagi mu sampah
tiada salah bercanggah
ambil masa, ada cara
berselisih mengembang minda

kau penuh cinta
halus tapi kaya rasa
nampak apa yang tidak
sedar apa yang bergolak
cepat belajar, pantas menangkap
berwibawa, mulia sikap
insani mu melimpah
tetap melangkah gagah

kau pergi takkan lama
sampai masa kan kembali jua
carilah impian mu
rayakan dengan suara merdu
kau tahu kau bijaksana
akal diregang sepenuhnya
doa kan makbul
keagungan menyusul

ku bangga mengenali mu
ada sebab kita dipertemu
kau secukup rasa
serba-serbi sempurna
aku takkan lupa
kau istimewa
senandung, gitar, semuanya
terpahat di hati sentiasa

gelang itu bukan bulat

usia bukan ukuran pengalaman
hakikat berleluasa penyelewengan
jelas bukan mencari aman
walau benihnya berserakan
dia tahu kuasa perubahan
namun dia lupa nilai pengorbanan
pahit itu ketentuan
melawan kemudaratan

genetik setiapnya termuat peringatan
memungkinkan yang dimustahilkan
perlakuan diturun
kan meresap jika dituntun
kan gugur andai ditegur
tabiat dibawa bersama ke kubur
kekurangannya Tuhan tak sekat
gelang itu bukan bulat

mungkin hanya dia yang layak
menjadi dirinya di khalayak
penat melumur emosi
andai indah dapat berlari
bukan bahannya, bukan kecantikannya
yang memakan diri kejahilannya
teruskan berfikir satu hala
gelang itu bukan milik mu saja

masanya kan tiba

dari mulut ke telinga
tak diperinci, dianalisa
diplomasi mati
malas diendah lagi
walau aku pergi
jangan diingati

jalan keluar mu tinggalkan
lari kan akhirnya ketemuan
dilupa kan jengah semula
sudah ku cipta kakinya
apa yang kau ada sekarang
aku yang memberi hutang

jatuh

saat dia melafaz perkenan
dia sudah jatuh
mungkin didorong kemahuan
memuas dambaan
tiada sekilas pun sayang
walau bayang-bayang

saat dia menindih badan
dia sudah jatuh
jauh dari leset sangkanya
selepas ini pula apa
tiada getah bisa memadam
keterujaan yang mendalam

saat dia menolak kebiasaan
dia sudah jatuh
maruah apa yang tinggal
hukum-hakam dibedal
jangan sekali berlagak wali
andai gersang dirodok jari

saat dia dimakan pengajaran
dia sudah jatuh
mukanya tebal tak tahu malu
walau handal mencorak tuju
setiap pembelian ada bayaran
ingkar kan dinanti hukuman

saat dia ditinggalkan
dia sudah jatuh
tolehlah ke belakang
kelihatan hanya jalan panjang
letaknya titik mula
sempatkah kembali bersua