Tuesday, April 29, 2008

jalan

walau jauh
walau perlahan
dalam perkenan kan sampai
usah mengeluh
cekal bertahan
takkan tersadai
biar menyembuh
jangan berhenti menelan
kan sendiri dia terkulai
lepaskan sauh
aman kedapatan
kautlah damai

Thursday, April 24, 2008

langkah

biarlah dia melangkah
berjalan sendiri menafsir sirah
memutih yang merah
mengkaya akalnya yang lemah
benar - dia marah

biarlah dia menyiram bukti
menjejak tanah milik Catalan nanti
yang ditakluk rampas dari umatnya sendiri
menatap tinggalan jatuh bangun dinasti
menenang kemelut di hati

seberang Atlantik, Pasifik di barat
melawat tinggalan tamadun hebat
yang suatu masa ditadbir pendeta dan bangsa ningrat
kenangan pasti sarat
ringan tanpa hadir kamera berat

titik akhir persinggahan
pelengkap segala lawatan
bukan Topkapi jadi tatapan
mencari tapak membangkit kenangan
sebelum menghadap bukti hidup ketidakmatangan

binaan dan ketakjuban
diziarah jua tanah idaman
adakah pantai penuh kesempurnaan
adakah saksi bisu kegemilangan bangsawan
atau jiran negeri lawanan masyrik - siapa kan ketahuan

sudah disebar amaran
takkan ada kepingan warna berupa kenangan
takkan ada agihan memento berkaca kebudayaan
takkan disurat perjalanan - takkan
semuanya santapan persendirian

mungkin balas dendam
mungkin mencari tenteram
tak mustahil dia kejam
menghukum yang pernah tembam
meski dia sendiri hodoh, lembab semacam

bebal

gema sabda zaman berzaman
jangan dilewat taman larangan
jangan ditegur racun hasutan
jangan dimusnah seri perkebunan
jangan merampas yang bukan milikan
kamu punya pegangan, kehormatan
dia punya tarikan, arah tujuan
tak beerti saling melengkapkan

segalanya mungkin binaan
memenuhi tuntutan peranan
menangani segenap lapisan
yang melencong, yang ke depan
konfigurasi rumit dua insan
yang terzahir pada empunya badan
menjadi label, takaran penilaian
pengukur santai dan kewarasan

kapan lenyapnya bebal
amaran datang berpukal
sisa pedih pasti tertinggal
selayaknya hukuman setimpal
untung apa didagang akal
kagum menjadi mual
khilaf bukan tegal
bersendiri membasah bantal

berkaca di kaca sempurna
selongkar lemari dunia
berkatup atau ternganga
belajar atau disia
lenyap gesa dari segala
mansuh keluh dari kepala
datang nanti kan bersedia
melawan celaru rasa

Tuesday, April 22, 2008

kabur

rasa punya rasa
menerang mengkabur jiwa
kejam
zalim
tetap kan jelas di mata
walau terkunci nyawa

rasa menghakis waras
wibawa bebas lepas
gergasi menjadi agas
berlian berserak menjadi hampas
terhenti nafas
termati bahas

Monday, April 21, 2008

mahal

kisahkan sokong sarannya orang
menyuluh hakikat yang jelas terang
mendahulu rasa dari akal walau dilarang
memberi keadilan pada yang songsang
aku punya semua itu

kesempurnaan
ketampanan
kegagahan
kebijaksanaan

kesetiaan pada pegangan
ketabahan mengharung ujian
kepantasan bertindak sealir kewarasan
rasa tanggungjawab yang tiada tandingan

amat mahal
takkan mampu jadikan hak milik kekal
meski kelak menjadi misal

kecoh

darah bukan lagi saksi
kuat ikatan melawan tarikan bumi
dikurnia kuasa meluasi
menakluk yang tak bisa dijajahi
tiada beza bersembunyi
kan dicari selagi megah menguasai
jam usia berdiam diri
mengosong jalan pada alami

selongkar sampai puas
entah dendam apa sedaya dibalas
tak sengaja jahitan tetas
dipasung dilemas dinafi bebas
tak percaya pada hak nafas
suatu hari nanti setiapnya kan tumpas
baru terasa pijar pedas
bayaran kemerdekaan dibatas

Friday, April 11, 2008

budaya?

sedut habis tinggal
rakus gaya penanggal
tak rasa tak terbit kesal
kulit badannya anjal
puas melepas gersang menebal
yang mengangkang naik mual
tak dinafi laku dihafal
tewas sayang menjadi tegal

mata dia sandiwara
putus rasa di balik kaca
mata mereka kebiasaan cuma
jarang dihebah tahu berpada
mata empunya ditadbir jiwa
dia raja, dia hamba
mata di mata di mata di mata
gagal melerai simpulnya

tiada niat menaik tabir
tiada niat menindas tercicir
tiada pasti terhormat kan hadir
leka menganyam budaya kafir
padam terhina kata akhir
setiapnya mula abadi terukir
berkurun ia mengalir
taatkan saja sabda emir

andai kejam menguasa
dihantar hasrat putuskan nyawa
atau hilang takkan jumpa
kurang amal dibanjir seksa
kurang upaya mansuh tenaga
lemah mata, lidah, telinga
hidu, rasa - tiada deria
rendah diri kala kembara

adakah baginya budaya
melupa yang takkan lupa
memaling muka kerana elok rupa
mengubah dirinya kerana masa
atau kerana sudah gila
menyerap sisa bekas bekasnya
selagi aku tiada
lebar tersenyum bangga

Wednesday, April 9, 2008

tumpu

fikir yang indah-indah
menjauh masalah
bertali arus walau ditegah
tak tahu malu walau dimarah
malas mahu berbalah
mengalah dengan karenah
berbakul sumpah seranah
menyusup setiap celah

fikir yang bawa damai
penawar mujarab tak ternilai
tak terhitung rasa berkecai
tak tercongak ditinggal tersadai
samar noktah masakan selesai
rosak binasa tak tertuai
balasan semoga sampai
kemenangan ku dia terkulai

fikir berpaksi tumpu
musnahlah dia di situ
mengapa dipanggil sayu
tiba cuma mencelaru
bukan sekutu bukan seteru
bebas dia menilai ku
andai dihujani ragu
jalan keluar luas untuk mu

Saturday, April 5, 2008

suluh III

hampir cecah seperempat
binanya kukuh cukup sifat
pati diadun telah pekat
takkan sezarah tersejat
pamer rangkul erat-erat
tiada baki terlalu rapat
kelihatan transisi cepat
kelihatan maha hebat

lihat keadaannya
bangga kala bebas akhirnya
walau sedarjah takkan paling muka
semuanya dia, dibaharui rasa
umpama hidup semula

mengapa berundur kala diburu curiga
bukankah dirahmati semua sentosa
semalam dibuang diganti yang berharga
krisis pertengahan kononnya bermula

yang dipinta sudah dapat
sentiasa dibakar semangat
yang memburuk disumbat
yang memuji junjung daulat
yang pegun semua diangkat
yang meracun ternyata jahat
dihadap hidangan lazat
siapa kisah pada hayat

lihat kemegahannya
tinggi helang kan ke tanah jua
kental dari pinggul hingga ke dada
saksi mata, simpan kata
gagah kan sampai bila

bukankah setiap yang menyinggah berbeza
namun sasaran sarat dengan cerita
sebentar bukannya pengukur semesta
jalan pilihan seraplah sedaya

apa penawar ubat
tak tertahan diikat
masanya belum tenat
walau tiada apa diselamat
peluang gunakan cermat
majukan yang sedang pesat
ketemu catat maklumat
terpapar khasiat merawat

lihat ketahanannya
sampai bila menerang dunia
kapan sedar menggelap syurga
laksana ikut suka, bantah rasa dia
pastikan dia juara

hinakah andai tewas berkuasa
lembik anggota menyerlah cela
tidakkah ketahuan tiada yang sempurna
walau digilai ramai jejaka

takkan lupa namun ingat
jangan perlekeh setitis keringat
langkah susun agenda dibuat
langsung tak diendah pangkat
dengar amar guruh kilat
penghujung sejagat masakan sempat
teruskan jangan tergeliat
luah hati selamanya tersemat

Wednesday, April 2, 2008

suluh II

panah tepat ke badan
tak terasa tusukan
adakah di awangan
atau gagah bertahan
tiada suara erangan
aduh rintih kesakitan
senyum tetap berkekalan
walau rasa kehancuran

lihat dalam mata
jernih tiada aniaya
apa sebenar isinya
memukau, berkilau pesona
terbit rasa hina

mengapa semuanya tak tertafsir di muka
walaupun ternyata luar dalamnya terseksa
tak pernah sekali dia tidak rela
memungut kembali sisa hatinya

jauh sudah berjalan
mencari kepingan jawapan
pelengkap kemusykilan
yang tiada belas kasihan
meragui fikiran
hampir terbabas pegangan
timbul urat di lengan
saksi peritnya penantian

lihat dirinya
mulus kulit tak dimakan usia
gali rahsia
membongkar, memusnah cela
bingkisan pengkhianat rasa

mengapa dirinya tidak membalas saja
hidup dijalan tenang apa kuasa
biar perlahan namun punya makna
ikatan sudah meninggal dunia

lagunya kini kedengaran
terhapus semua kenangan
takkan lenyap di ingatan
maaf takkan diperkenan
cukuplah dia direndahkan
direnggut keselesaan
apa ada pada tampan
andai hati kecelaruan

lihat perkasa
gagah berlian rupanya kaca
gemilang sinar rupanya sehina cahaya
biar dia selesa, biar dia leka
tolak dia ke jalan raya

hah - takut jelas terpapar di wajahnya
kerana kenangan silam kejam menerpa
penyebab dia menjadi setia
kumpul bubar bak rakyat biasa

debu mula berterbangan
mengkabur pandangan
lenyap dia di kejauhan
tapak kaki tak dikesan
ketawa kedengaran
kuat namun sopan
akan tiba pembalasan
puas hingga pengakhiran