Monday, January 28, 2008

jenayah

apa jenayahnya mengangan yang tinggi
salahnya mula dari jejak kaki
jalan mana harus diikuti
cabaran apa harus ditempuhi
sayangnya tewas diracun sangsi
tangan kidal petanda dicari

sayangnya kompas ku hilang
tercicir dalam taman terlarang
takdir bukan kita melawan
takkan terpantul dalam titis hujan
padah dicari bertuhankan rasa
benci dianugerahi berpaksi drama

apa masalahnya kebahagiaan
semuanya layak menerima bahagian
takkan ada yang pernah cukup
pelengkapnya lemah melambai sayup
mengapa dicelaru yang sedia ada
menokok tambah yang bukan ahlinya

apa jenayahnya mengangan yang tinggi
marak takkan membakar mentari
berhenti saja mengejar sempurna
sudah tersurat sedikit banyaknya
jangan ditari rentak yang canggung
takkan tercapai takhta agung

yes, i'm difficult. do you want fries with that?

sukar benarkah mengenali
kebodohan ku terbentang seluas bumi
perlukah aku iklankan di akhbar
ketidakpekaan ku seliar belukar
mungkin jarak usia dipersalah
mungkin latar berbeza dipersembah
aku yang degil, jahil, semua mustahil
dia pula berilmu, stabil, berketerampil

tak pernah ku selami asal-usulnya
kelemahannya aku terima seada
cinta hatinya ku layan serupa
doa ku mereka rukun bahagia
berderau darah kala dicuriga
gugur jantung dikecam segala
ada baiknya ku diam sahaja
walau sukar bagi ku melupa

ya, aku bersalah
bait kata ku tak pernah indah
kerap kali mengundang marah
pantulan diri ku yang murah
aku bersuara kerana ku kisah
bukan menegak benang yang basah
maafkan aku kita bertelagah
kasar tindakan ku umpama sampah

sukar benarkah mengenali
manusia yang memperlekehkan Ilahi
aku ikhlas menjalin persahabatan
ku sedar musuh ku ketidakmatangan
adakalanya aku lama berdiam
bukan menyandar memintal dendam
tetapi menanam sedikit benci
agar khilaf ku mematang diri

Saturday, January 26, 2008

...takkan lupa

hilang
sunyi
padam
senyap
melayang
sepi
tenggelam
lenyap

mungkin penat mengejar bulan
menanti yang bukan miliknya
bukan mahu ku dia bosan
segalanya tersurat di atas sana

biar dia diam
harapan ku dia faham
sesungguhnya laut hati ku luas tersergam
namun bukan kuasa ku andai dia karam

takkan lagi menanti
teruskan langkah kaki
kau tahu ku kan terus menyayangi
walau hidup ini mimpi

aku takkan lupa
walau hanya kedengaran suara
terserah pada mu segalanya
mungkin nanti kan jumpa jua

...kan mengundang senyum

ke mana pergi pandangan mata
yang jelas terpapar tak terlihat
mungkin hijab takkan terbuka
kukuh melindung kuasa jahat

mereka melihat yang nyata
aku hanya melihat di maya
bertaut dua jiwa
bersemi rasa yang sama

kan mengundang senyum
jelas nyata bagai dimafhum
angin dikirim berisi kegembiraan
moga menyamankan yang berpacaran

ke mana pergi pandangan mata
yang jelas terpapar tak terlihat
terlalu asyik melayan lara
yang nampak hanya kelibat

Friday, January 25, 2008

gasaklah kalau meletup

pendam
itu terbaik
walau pengakhiran mu direnjat listrik
jangan biar dia ketahuan
simpan - terus bertahan

pendam
paparkan senyum
harapan kan kekal menguntum
basah pipi sebabnya gembira
jangan dinyata engkau terseksa

pendam
berilah peluang
teruskan bermurah walau dibuang
engkau hidup untuknya
engkau mati jumpakah dia

pendam
simpan rasa mu
walau tohmah umpama peluru
pada mereka, mereka betul
di mata mereka engkau bahlul

pendam
telan esakan
telan penyesalan
teruskan langkah
timbunkan masalah

pendam
sampai mati
biar rugi
hak mu dinafi
pernahkah mereka peduli

no more

sudah
hentikan semua
hasil tiada
membazir masa

sudah
tak pernah kisah
engkau murah
banyak masalah

sudah
menyerah kalah
tak guna berbalah
mereka kaya helah

sudah
diam daja
tak guna ditanya
tetap disia

kuasa?

dengar
jangan degil
turut
jangan ingkar
sabar
perkara kecil
kabut
bukakan sangkar

kami profesional
tak pernah sekali emosional
menelusuri tangga multinasional
bukti ideal masyarakat global
moden tapi spiritual
kecamuk seksual tetapi normal
tertib adab tetap sensual
tersendiri bukan tipikal

perhati
biar faham
fikir
jangan menyimpul
menanti
memanggil silam
takdir
jangan dibetul

kami memang punya kuasa
tak pernah tewas diracun rasa
kesilapan kami mematang minda
kesilapan mu bahan ketawa
cubalah sekali mendengar kata
cubalah faham keadaannya
jangan jahil kerana kami sempurna
jangan jengkel kerana kami berjaya

ubah
kami serius
melawan
pergi berambus
marah
macam bagus
kawan
pergilah mampus

kami bebas menyuara apa
menghasut mu membelakangi keluarga
meracun mu supaya gila
menyesatkan mu kami suka
makin kuat kami ketawa
memperdayakan mu sebahagian agenda
biar kau melarat kerana cinta
kerana kami punya kuasa

wajah sebenar siapa?

katalah apa saja
keselamatan mulut bukan hak bersama
lontar tuduhan berbisa
sarat perincian asasnya tiada
supaya kau gah di matanya
yang penting dia terasa
diberkati dunia bila dia terseksa
damai rasa bila dia tiada

katalah apa saja
pamerkan kedegilannya
jangan dengar pendapatnya
ragukan kebaikannya
pasti ada muslihat dirancangnya
menjatuh yang tak disuka
matikan impiannya
halang langkahnya

katalah apa saja
katalah kau membencinya
cela hidup mu kala dia ada
buatkan dia percaya
bahawa diri mu kawannya
selepas itu tikam dia
padamkan mentol hidupnya
engkau wira

nothing special, really

dengar
halus bisikannya
menggetar rasa
alun
cinta
hilang dalam nada

renung
redup pandangannya
asal dari pasang
mata
cinta
hilang dalam jaga

semerbak
tersebar haruman
wangian sesegar
udara
cinta
hilang dalam hela

nyaman
lembut menyapa
agungnya belaian
bayu
cinta
hilang dalam jiwa

lafaz
ikhlas bicaranya
kelu terpesona
bahasa
cinta
hilang dalam kata

Monday, January 21, 2008

datang cinta

akhirnya ruang itu terisi jua
terpancar bahagia di matanya
sinarnya gemilang tak cukup menampung
debar di hati sentiasa berkunjung

cinta datang sekali lagi
segarnya bak bayu membaluti
tubuh hangat bukti kukuh terpatri
kasih tak ternilai walau di bumi

jangan lenyapkan senyumannya
jangan gusarkan rasanya
sudah lama dia berkelana
bawa pergi, buangkan silamnya
pegang tangannya, pimpin dia
mencari, mengerti indahnya cinta

akhirnya ruang itu terisi jua
tak terhingga jiwanya merasa
damai bersulam sejahtera
mengecap anugerah agung hidupnya

kini tidak sendirian lagi
langkah kaki ada menemani
saling melengkapi, saling memayungi
menyaksi terbit terbenamnya mentari

jangan rampas kebebasannya
kongsi segala gundah hatinya
jaga dia untuk selamanya
abadikan senyum manis di bibirnya
tiupkan makna dalam jalannya
hargai dia hingga akhir masa

akhirnya ruang itu terisi jua
tiada lagi sunyi menerpa...

Saturday, January 19, 2008

jawapannya?

bukan kawan
bukan pacaran
jangan ingkar langkaui batasan
jaga kelakuan, penampilan
ini rahsia sepanjang zaman
nikmati, telusuri perlahan-lahan

bukan kawan
bukan pacaran
jangan biar lepas perkhabaran
biasakan berjauhan
di depan pasti keperluan
bila tiba saat termetrai perpisahan

bukan kawan
bukan pacaran
kisah lampau tak endah kebebasan
tiada larangan
lakukan apa kesukaan
jangan dipaksa, jangan ditekan

bukan kawan
bukan pacaran
pahit diluah jangan
telan, teruskan bertahan
tangis jangan kedengaran
rajuk jangan terang-terangan

bukan kawan
bukan pacaran
milik mutlak saban bulan
gauli sampai kepuasan
manjakan selagi berpadaan
takkan hilang kehidupan

bukan kawan
bukan pacaran
terlalu jelas perbezaan
disimpan sendiri kesukaan
dimaklum jangan, dipapar silakan
mari lihat ketidakstabilan

bukan kawan
bukan pacaran
mungkin sayang berlebihan
mungkin prihatin menjengkelkan
kasih takkan bersempadan
terpulang penuh empunya tafsiran

Friday, January 18, 2008

rentap

semuanya bagai perlahan berundur
hakikat jelas walau pandang kabur
benarkah tiada masa menyalur
sedikit pengertian perlukah diukur
nyata kan bersorak suka mengendah tegur
terbit puas di wajah kala dia tersungkur
mustahil dua pangkat bercampur
rela mengembara jauh dalam tidur

Thursday, January 17, 2008

punca dia bosan

asyik-asyik yang itu
bagai tiada tajuk yang baru
sebenarnya adakah perlu
meyakinkan setiap waktu
letak diri ku hanya satu
bukan raja bukan ratu
kesayangan bukan tugu
keharuman bukan gaharu

sukar untuknya menerima
melayan yang meleka
kegusaran yang tiada apa
iri yang tiada muka
sebab bosan menerpanya
menghalang cergas mindanya
melumpuh benak kewarasannya

ya, salah ku seorang
meminta dia mengulang
mengulang dan mengulang
mengulang dan mengulang
lafaz klise bukti agung sayang
memaksa logiknya terbang
membunuh bina terampilnya terawang
mencabar kelakiannya goncang

lihat - pinta ku bukan ragu
alasan ku bukan cemburu
tak pernah ku titah mencemar langit biru
tak pernah ku sumpah lautan membeku
ya, semuanya silap aku
gelojoh bertuhankan nafsu
memburu yang berdebu
menangkap awan kelabu

punca dia bosan
punca aku tak keruan
baiklah - bendera putih ku kibarkan
saksi penamat perbicaraan
kan selamanya rasa hangat dakapan
kan selamanya rasa lembut kucupan
dia sudah menjadi pilihan
pelengkap kesempurnaan

Friday, January 11, 2008

faham apa?

dia menitip pesan
jaga diri sepanjang perjalanan
umpama takkan jumpa lagi
kerap terdetik di fikiran
adakah dia bosan
tak mahu ada perkaitan lagi

rasa itu takkan padam
bukan rekaan bukan ilham
muncul dari dalam diri
maaf, ku tak dapat menyembunyi

dia menyekat perbualan
tak pernah membenar berkongsi tangisan
nyata ada yang belum lepas lagi
tercari-cari kesalahan
punca dia bosan
tak mahu ada perhubungan lagi

rasa itu bukan jelmaan
jarang terbit ke permukaan
mengapa diam andai disakiti
usir diri ku dari sini

kini tiada kata betukaran
hanya damai menyeksakan
ku faham dia tak mahu lagi
faham hanya kata menyedapkan
jelas dia sudah bosan
tak mahu terus mengenali lagi

rasa itu akan kekal
semua setara, tak dapat disangkal
kita mungkin mati
rasa itu selamanya sebati

tiada ikhlas

tiada keikhlasan di situ
jangan lagi ditunggu
yang mekar pasti kan layu
semua terpulang pada waktu

penampilannya ringkas
namun bicaranya tangkas
walau senyum sekilas
jelas saratnya ikhlas

apa lagi dicemburu
sudah bukan bahagian mu
yang lemah jangan diburu
kemasyhuran bukan buruk laku

fikirannya pantas
mustahil bisa dipintas
walau kurang dia membalas
nyata tiada cemas

lupakan saja impian mu
semua orang kan membisu
nanti pasti kan berkumandang lagu
bukan dari suara mu yang menjemu

Tuesday, January 8, 2008

tak pernah

tak pernah dia mengejut diam
berselindung di balik mentol alasan padam
perlahan cuba menenangkan
golak tiada penghujungan
mungkin kepenatan jadi saksi
tak beerti layak ditabal wali

tak pernah senyumnya berkurang
walau hari sukar menganugerahkan sayang
mungkin dia berang
jarum kawalannya hilang
rapi disimpan bersaksi bulan terang
peluang dalam diam kelupaan menyerang

tak pernah hayun kakinya berterusan bongkak
menyakit hati mahu saja ditetak
detap bergema di telinga
kuasa kaki ada hadnya
segala dipendam kemahuan hati
semua putih balasan diberi

tak pernah tawanya memberontak
tak daya lagi menyembunyi retak
titik tumpunya tak bernyawa lagi
diracun mati angkara harapan tinggi
amarah setia memenuh ruang
walau peranannya masih menerawang

tak pernah sayunya lenyap
abadi bertandang walau sekejap
demi Tuhan dia tak mahu melayan
berkali mencuba tak buah kejayaan
tiada istilah seimbang
penat membaiki yang lama usang

definitely not a wax figure

kenapa basah wahai kayu neraka
tak pernah kisah perihal dosa
apa punca genangan di mata
sesal kerana tewas prasangka
rindu menghakis habis kewarasannya
celaru meniup hanyut rasa jiwa

kenapa basah wahai kayu neraka
tak pernah kisah perihal dosa
apa punca genangan di mata
ku dengar setia hanya khayalan dunia
ku dengar bersahabat jenayah paling bahaya
ku dengar kesempurnaan lupa akan kewujudannya

kenapa basah wahai kayu neraka
tak pernah kisah perihal dosa
apa punca genangan di mata
salahkah dia menikmati hidupnya
salahkah dia berhak atas kepunyaannya
salahkah dia menjadi manusia

kenapa basah wahai kayu neraka
tak pernah kisah perihal dosa
apa punca genangan di mata
cukupkah terlindung berperisai kata
amankah nanti hari dinafi cahaya
nyamankah angin kehancuran di sana

kenapa basah wahai kayu neraka
tak pernah kisah perihal dosa
apa punca genangan di mata
sudah ketemukah titik mula
membawa kembali saat bersama
rela melepas bukan miliknya

Friday, January 4, 2008

apa ada di sana?

ramai orang di sana
entah apa tarikannya
adakah perayaan
atau hanya satu hiburan jalanan
mereka hanya berdiri
tiada kata bersilih ganti

ramai orang di sana
mata bertemu mata
adakah yang terpendam
rasa atau dendam
mereka cuma berdiri menanti
berlalunya hari...