Sunday, August 31, 2008

Allah selamatkan kamu, Malaya

Monorel gah meluncur laju
merentas tebal hutan batu
menyenang kerja lampu
mengawal lintas lalu
mujtamak kota kini kufu
menyamar melindung semu
merai tahun ke-51

Erti apa dijulang
engkau bebas namun terhalang
ehwal waham bermatian dicanang
enggan diaku menang
episod seterusnya giat dirancang
enak dilemas isi baju kutang
emas tergamak dibuang

Ringan sentiasa beban mereka
raiskan tabungan rakyat jelata
rupa bini tak makan usia
riadah keluarga selesa dibiaya
rimbun teduhan itu neraka
rosak dibela, elok dianiaya
rukun riak dipersenda

Dekad baru melepas lima
diktum dimurah bebas dijaja
dupa semerbak mengkabur sandiwara
dada didabik membukti apa
darah ditumpah hilang makna
dacing seimbang dicacat sengaja
dakwah sarat berbaur auta

Edar hanya yang baik
edit semua yang jelik
empayar diperluas setiap detik
etika dilanggar tunggang-terbalik
embun malu ingkar menitik
epik dipentas pengarah munafik
esen dicair memekat politik

Kedah melahir satu dan empat
kaul mereka bagai keramat
kedua ketiga tak kurang hebat
kenapalah anak mereka jahat
karier kelima paling diingat
kekal terpahat selagi hayat
kaya skandal, intrig, muslihat

Api kebebasan takkan padam
andai hormat pada alam
anjak jauh dari kejam
anak cucu selamanya tenteram
adil itu imam
ambil iktibar perkasakan azam
angka 51 semoga qidam

Saturday, August 30, 2008

item faharasat

bagi mereka mungkin biasa
mengecewa itu kaca kuasa
dari buaian disuap harta
hujah survival titik tak jumpa
padahal susah dicari sendiri
mudah memaaf sukar membenci
tiada beza malam dan pagi
selagi kiamat tak tiba lagi

bagi mereka mungkin biasa
di kamus hidup pupus prakarsa
penyelesaian tersusun dalam bejana
selak faharasat, tunjuk saja
buntu akal, berdarmawisata
pongah menjengkel hanya logamaya
busung dada makanan kecewa
elak fadihat, balas yang sama

bagi mereka mungkin biasa
amalan gahari cura semata
ikhtisar perjalanan dunia
tetap makrifat tuan empunya
kecewa segera dilupa
walau ada manfaatnya
hidup seabadi bertanda harga
mengecewa itu taruhan mereka

cahaya agama cahaya jiwa

cahaya agama, cahaya jiwa
kekal agama melara jiwa
agama dengar jiwa cerita
dua cahaya punya cerita
dua cahaya satu agama
jiwa sentiasa sayangkan agama
jiwa bernyawa kerana cahaya
agama kan kekal cahaya

Monday, August 25, 2008

pandang kasar

ringkas lokasinya
asalkan pasar raya antarabangsa
berbilang baris tersusun
memuas damba bertahun
nafsu berkeroncong ghairah
menunggu masa menyerah
sudah serasi mendarah-daging
buatan tempatan dijeling

mengajar umpama kabus
membetul berlagak kudus
kononnya menolak nama
namun saksi takkan lupa
semampu mana mengempang cita
runtuh jua kalau kukuh binanya
sempurna bukan bahagian mu
walau rapi merancang tuju

manis kata mungkin keturunan
memperdaya mangsa dimangkin ketamakan
saiz pinggan tak ambil pusing
ada ketika terumbang-ambing
tiada nun sejanggal -an -ik
ada nun berleluasa melirik
kala teruja silau pandangan
sebaliknya aku keseorangan

nyata berlainan gelombang maya
mungkin kan begini sentiasa
andai diterbang sebutir pasir
takkan mendadak bertukar kafir
jangan berhenti berlari
ada kan memerhati
jangan dinafi insani
kau akan perlukan nanti

Thursday, August 21, 2008

otok mu tuh dok mano? punggung?

tercipta satu bersandar niat
luaran baik dalaman jahat
jejak Azazil muat di kaki
telah berjanji sejak azali
setiap laku dibabit Tuhan
umpama tiket kemasyhuran
ingatlah ilmu hanya pinjaman
tempias tampan Yusuf hanya ujian

tercipta satu bersandar niat
terpulang ikhlas atau khianat
lelah berdikari rupanya pengecut
lebih hina dari khinzir reput
andai salah mengaku kalah
mungkin bebas berlumur darah
penyakit menafi lama bersatu
satu per satu rasa dicelaru

tercipta satu bersandar niat
tak mustahil membunuh malaikat
jika semut dipijak tak mati
dipalu tubuh patah belati
senjatanya dalam sulam kata
bijak dia mengatur punca
jika tajam bak mata pedang
kenapa masih pecah tembelang

tercipta satu bersandar niat
terhibur membaca cinta terhebat
EUFORIA + TRAGEDI = KOMEDI bagi ku
sangka dia aku takkan tahu
terlampau besar menjadi agung
dibuat filem, pecah panggung
dipentas bangsawan, runtuh bumbung
di Hollywood, Oscars menggunung

tercipta satu bersandar niat
bermain rasa sehingga tenat
ditahan di wad menangis pilu
phoenix tak bangkit dari abu
mengenang yang tak perlu
sengaja dilengah ia berlalu
udara di dunia takkan cukup
mengubat sesak, kerinduan dikucup

tercipta satu bersandar niat
setiap hikayat digubah dahsyat
melodrama hingga ambang kiamat
bisa menangguh perbicaraan akhirat
bahawasanya dia ramai peminat
menyuci kafannya bak nur malaikat
tak terasa pendeknya hayat
memesong fakta sempatkah bertaubat

tercipta satu bersandar niat
kawal semampu cinta yang sarat
jangan kerana hasutan terlaknat
menabur janji, harapan dipahat
kemudian diam tanpa amanat
muncul kembali tanpa sepakat
lendir keliru takkan tersejat
pedih luka mencorak riwayat

tercipta satu bersandar niat
terus-terang jika diangkat
andai keliru punca tersekat
pusingan alam jangan direncat
yang harus berjalan jangan ditambat
yang segera jangan dikena syarat
kurnia cinta itu nikmat
bukan benda dibuat-buat

tercipta satu bersandar niat
teliti semua maklumat
jalani semua peringkat
kesimpulan hendaklah tepat
jika sangsi, istikarah
JALAN CERITA JANGAN DIUBAH
simpati jangan dimurah
maruah jangan direndah

tercipta satu bersandar niat
taraf bangsawan membalik sifat
watak warisan dimain berjaya
terlebih sempurna melindung cela
pesona melampau membunuh lebah
saudagar madu muntah darah
jelas pembawakan bukan begitu
pasti trauma dek kisah lalu

tercipta satu bersandar niat
hapus pandangan mengapa tercegat
tak siapa melarang mengarang rasa
diri mu kesayangan Dia sahaja
cubalah sekali mengaku salah
nikmati sekali rasa menyerah
lari dan diam resam yang asing
tak pernah diamal pemakan daging

tercipta satu bersandar niat
hak mu meneliti memilih pangkat
mungkin dilupa satu perkara
sama serupa berbeza makna
diri mu tertulis dilimpah rahmat
jangan bersyukur tak bertempat
kebaikan selayaknya ada akibat
musibah fungsinya mengukur taat

tercipta satu bersandar niat
bukan mengata, jauh mengumpat
peribadi mu masih samar
buku amalan masih dihantar
keyakinan mu bak besi mencalar
menyesal tidak cukuplah sedar
kasih-sayang selamanya dibingkis
andai onar mu dapat dikikis

Tuesday, August 19, 2008

pilihannya

apa kuasanya diam
sampai bila mahu memendam
pernahkah ditafsir sedalam-dalam
daripada berdengkur saban malam
kononnya takkan ada yang faham
sedangkan tak canggung berlaku kejam
larilah - jangan tersembam
renanglah - jangan tenggelam

apa kuasanya diam
entah bila aku membaham
selama ini hanya menerkam
silalah - jangan berhenti berandam
memberi nyawa kepada yang kusam
mengindah yang sempurna tersergam
membaharu takhta semayam
semuanya kecuali hati yang hitam

apa kuasanya diam
buat bekas tamu tanah Uncle Sam
bisakah mengalir ilham
membalik punca meragam
mengkabur aturan alam
ya - selamanya ku takkan faham
lahiriah Melayu Islam
belum tentu kan menghulur salam

apa kuasanya diam
aku tetap menenun dendam
lawan mu bukan sementah kecam
tapi bahang neraka Jahannam
takkan tertawar dek telaga zam-zam
takkan tertawar dek pantun gurindam
takkan tertawar dek teman yang sama karam
jika tulus menghalal yang haram

apa kuasanya diam
melupakan kenangan zaman tembam
sengaja mengelak walau dicam
padahal segalanya belum terhadam
terus melekat umpama digam
mata mulia silalah pejam
azimat suci silalah genggam
jika berbalik jangan tergamam

apa kuasanya diam
kedamaian lenyap kala menyulam
pasti takkan sempurna hasil dianyam
raga rasa harapan terbenam
nanti kan terbit sinar kelam
menelan sisa sekasar ketul garam
menusuk pedih jarum menikam
pasti dalam rahsia dirakam

Friday, August 15, 2008

kerana lelaki

dia punya rencana
mahukan seorang puteri
namun dikurnia seorang putera
lantas dirinya ditakluk benci
yang terbina runtuh jua
dijamin takkan bersilang lagi
anak itu bertukar penjaga
bakal gigih meniti hari

dia punya rencana
mungkin mahu mewah berharta
namun caranya apa
memesong belanja dana
silih berganti bencana menimpa
Tuhan telah menutup hatinya
kesedaran telah tiada
serik hanya senda

surinya berusaha kuat
walau lelah menanggung uji
jagaannya menghitung hayat
entah bernyawa lagi esok hari
dia membesar sambil merawat
lara jiwa dibeban identiti
kuasa Tuhan dia afiat
kacak, gagah, berdikari

dia punya rencana
hidup seiring fitrahnya
tentu dia juga jatuh cinta
bukan memenuh nafsu semata
apalah perjalanan tanpa duga
resam nakhoda mengharung gelora
walau bahtera kukuh terbina
badai melanda bertarung nyawa

dia punya rencana
kemuncak hidupnya dilimpah jaya
berupaya membalas jasa
mampu memperkasa rasa
berdaya mengecap bahagia
namun manusia tetap manusia
cuai, lalai, leka dan alpa
Tuhan masih mahu menduga

dia punya rencana
mengajar kesayangannya supaya cekal
memerang yang nyata, yang maya
memberi arahan kemudian ditinggal
bimbing tiada merenggut asa
mujur cinta masih menebal
dia berkorban, dia menerima
bagai mengantuk disorong bantal

lari bukan penyelesaian
hadaplah kemungkinan perbuatan
jangan dipindah tekanan
ke bahu yang bukan melakukan
walau dia patuh, penuh kerelaan
itu namanya mengambil kesempatan
jangan nanti menuntut keadilan
sedangkan bukti jelas kelihatan

pulang dia berbekal harapan
mengaut rezeki buat kesayangan
buat melunas niat berzaman
membayar seribu satu tunggakan
namun Dia punya rencana
hanya sebulan dia terdaya
tidak diminta dilayan bak raja
cukup sekadar sebagai manusia

dia punya rencana
mahu memberi hidupnya makna
perancangan ada di kepala
tinggal masa sesuai melaksana
sokong saran untuknya percuma
janji berusaha semampu kudratnya
latar taatnya membantu sedaya
latar azamnya tetap cinta

penuh rahsia senyuman itu
jalan ditempuh sarat berliku
ditangkis yang tidak perlu
direbut peluang yang lalu
pengorbanannya bagai menilai madu
kasih-sayangnya merentas waktu
dia punya rencana baru
kembali ke tempat jiwanya diseru

Thursday, August 7, 2008

menanti rasa II

takkan ku ketuk kaca
walau fitrahnya sekukuh jendela
punca penyelesaian letaknya di akal
melebur peti yang paling kebal
hendak dibuka hendak dikatup
ilham memula rasa menutup
mungkin lama melindung sinar
menyaring yang jujur memancar

ku tak pernah memaksa
terpulang kerelaannya
asal cukup menyaman pandangan
menyegar yang lama dilindungkan
halang semampu cahaya
serap kehangatannya
kini terserlah segenap keindahan
tajam renungan sarat perasaan

menanti rasa

lama menunggu kelibat
hadir kan pasti membenar firasat
bahawa hati ini dimiliki
bahawa rasa ini menguasai
menaungi segenap penjuru
bisa spontan memberhenti waktu
saat hadirnya rama-rama
terbang bebas membawa gembira

datangnya bukan saban hari
menjana sabar andai menanti
hampir ia mengundang rasa
kaya berbaur serba tak kena
kasar mengheret ke persimpangan
saat getir menentu pilihan
simpan yang sedia ada
atau terus mencari sempurna

bagi ku ia impian rahsia
cita terlarang sepanjang usia
mungkin mengkaca tamak
mungkin memantul yang hak
mengapa mesti ada pilihan
yang mana menerang kebaikan
rasa bukan penentu
letaknya di dalam mu

mana terbang si rama-rama
pencetus ilham memarak rasa
harus sedia menggalas akibat
menguji mujarab semua ubat
takkan rela meluka semua
melainkan dia bertopengkan manusia
kelainannya mengasyikkan
didalami membawa penyesalan

Tuesday, August 5, 2008

kerna angin

songsang putaran dunia
yang asing menjadi mesra
yang pernah berkongsi menjauh sedaya
bukan mengacu sesedap rasa
ada sasaran dalam mata
busur dan panah bayangan maya
menguat pembahagian sesama bangsa
sukat tinggi rendah tingkatnya
walau nanti tujunya bukan syurga

hak tak pernah dinafi
kebenaran tak pernah dibeli
yang dipunya dibawa mati
bila pernah ku meragum kaki
bila pernah ku menghitam-putihkan alami
bila pernah ku mengunci memori
dalam laku berbalik benci
dalam lagu menikam jeriji
dalam kata menyakit hati

kerugiannya keuntunganku
namun akhirnya menjadi debu
aku lupa duga berbucu
setitik benar jenuh diburu
biarlah dia lepas begitu
hilang kata walau tak bisu
yang lenyap takkan bersatu
yang ditinggal takkan ditunggu
yang menanti langit biru