Wednesday, September 24, 2008

peduli apa

pasti kan tetap meluncur gagah
walau sepanjang zaman beralah
bukan menghebah ke jalan mudah
bukan dayus menghalal yang salah
ada peringkat menyenang payah
tabungkan mungkar jangan ditegah
terserah dia pulang ke rumah
berteman senyum beriring marah

had pandangan terpulang dia
empunya jendela empunya kaca
seni mengalir seiring rasa
tegang dilumur cairan cinta
berselubung terdedah baginya sama
lemak pekat melekit beraroma
dicerai sekecil dicerna sempurna
sebelum berdengkur menuju lena

zahirkan di maya mungkin cara
menyingkir sampah menyesak langkahnya
konon mengharung duga dunia
mengkabur keluarga apa cerita
sehitam asap kan murni jua
menjalan alam selaras kuasa
memilih bukan jaminan syurga
bebas ke langit berbekal harta

bertemu penjuru bersua arah
teruskan kelana, tak pernah bantah
walau berdepan berlumur darah
pandang tepat jangan diendah
tatang sabar jangan tumpah
masyhur jangan dibayar maruah
semuanya juara menuju falah
uji dari ku sebesar zarah

Saturday, September 6, 2008

takkan sampai

tiada guna mengacung salah
aguk kemasyhuran tergantung kalah
mungkin premisnya munasabah
tiada dalil keahlian sah
kumpulan elit yang persis mewah
merakam, mengabadi yang indah-indah
mencundang hanya membuah amarah
makin digahar makin berdarah

agaknya nasab tak segah
salam perkenalan tak pernah bercambah
walau tumbuh kan rosak buah
rapi dirawat kan kandung nanah
bukan silap mukadimah
jarak usia benteng pemisah
tiada tuhfah mahal dipersembah
hanya jujur yang undang gelisah

digerun tangga sosial rebah
ujar mengingat disangka titah
tiada sembah tiada sanggah
cukup sekadar menunjuk ramah
terpantul lemah di kaca bertatah
tak mungkin nampak si sarat masalah
sepanjang zaman takkan kisah
walau mereka tak pernah menyusah

Thursday, September 4, 2008

tenggelam

kerana senyum abadi terpahat
sesungguhnya hadiah paling hebat
lama diimpi dianugerah nikmat
entah apa matanya melihat
zahir sarat cela dan cacat
putus kata terserah firasat
membazir keringat yang terberat
tenggelam aku jangan diselamat

senyumnya itu bersahaja
namun manis menerang dunia
pandang mata sarat cerita
antara usah dengan iya
sememangnya takkan mengharap apa
sehabis mulia teman biasa
menghapus lara dengan canda
mendengar ikhlas kala diminta

kaul terbaik mungkin nakal
jauh aneh perkara normal
tiada apa hendak disesal
hati budi masih mengenal
kuat tarikan takkan disangkal
bukan pada anggota yang pejal
senyum kan menjadi misal
mengekal duduk manusia berakal