Wednesday, March 25, 2009

bukan nuansa

serlah warna tetap kekal
abadi diselubung kebal
bertahan dari serang senyap
buah ilham dan cakap-cakap
begitu begini begitu begini
kerjakan jangan ingkari
lantas dilontar ke langit lepas
pandangan persis bebas terhempas

lagaknya umpama kenyataan biasa
tak siapa tahu perintah sebenarnya
hadir nuansa tiada maksud
bila jarak ubah tak wujud
rapi, teliti - bukti diselindung
bongkar, geledah - takkan sampai bumbung
cermat menyembunyi jerat
masih belum terbukti hebat

andai dinganga, dibuka luas
sekecil penjuru tak dilepas
rebah tak semena-mena
belum luput tarikh baiknya
semua punya tanggungjawab
semai makna dalam nasab
jangan doakan diwarisi
biar kontang isi perigi

Wednesday, March 4, 2009

jaminan

saban hari meninggal jejak
adakah ingkar berganjak
atau sudah menjadi tabiat
singgah sekadar melihat-lihat
mana jaminan mu
takkan lagi mengganggu
puas kau canang sedunia
bahawa kau sebenarnya mangsa

berhentilah menipu aku
dia, mereka dan juga diri mu
kita sememangnya asing
hakikat tak perlu bising
kesempatan kau ambil semuanya
memperdaya selagi ku leka
namun spesis mu aku percaya
setinggi mana kan tetap hina

petah

empat cerita berbeza
lain latar, satu agama
lain usia, satu sifat
ringkas dirumus namun padat
dua lelaki, dua perempuan
tidak alim namun bertuhan
dikumpul semua bijak berhujah
sampai ke tua tetap petah

anak bongsu katanya
zahir menidak fakta
rencana mesti dilaksana
enggan menyerah sebelum berjaya
enak hidup selesa
namun tak pernah terbiasa

halangan baginya kecil
anak bangsawan berketerampil
fahami sebelum hakimi
ilmunya seluas bumi
darahnya tetap merah
zahirnya tetap bermaruah

nadinya takkan berhenti
ada saja yang ingin dikongsi
duri dibayar duri
ikhlas dibayar takkan sunyi
anak sulung bertanggungjawab
hidup tak pernah melupa kitab

sayangnya dia bukan lagi kawan
hanya kurang setahun bertahan
ideanya bukan sedikit
dia memang tak pernah hipokrit
elok dia menjauhi
emosi baginya setara mati

syurganya terkunci

bangga dia menerima ganjaran
sebaris mereka yang berkelayakan
akhirnya ringan segala beban
bayaran kesabaran menjauh larangan
pandang tertumpu ke penerima pertama
melangkah yakin puas di mata
yang kedua juga serupa - lepas
begitu juga yang seterusnya - bebas

tiba saat yang lama dicita
gugup berbaur suka
didahului kaki kanan
namun kebas seluruh badan
langkah diatur semula
mungkin hanya perasaannya
didahulu kaki yang sama
akibatnya masih serupa

dipersila mereka yang di belakang
semua mara tanpa dihalang
gusar mula menguasa
ini lawak atau apa
segalanya cukup lengkap
mengapa ini perlu dihadap
lontar pandangan ke arah pemberi
tak dikesan wajah pasti

dia lupa menuntutnya
identiti penting penerima
mungkin terlalu gembira
teruja langsung lupa
kali ini berjaya bolos
terbau semerbak ros
tadi tiada bukti dia penghuni
jadi syurganya terkunci

silap aku

walau sempurna bukan jaminan
dia kan selamanya pujaan
senyum tak sampai
sentuh tak tergapai
yang disaksi hanya kelibat
belum tentu memanjang hayat
walau diselam sedalam mana
saat timbul yang tinggal sisa

Tuesday, March 3, 2009

tunggul kayu

menunggu bukan bakat
menadah tangan menanti firasat
baru menyingkap yang tersirat
saat mereput yang jelas tersurat
launglah selantang sepanjang harkat
andai mahu beradu hebat
tutur kata memang memikat
sudah dibebas jangan mengikat

sayang bagi mu sudah murah
jatuh nilai sejajar ucap lidah
kini masanya untuk gah
meminta bertambah-tambah
tidak diturut bertelagah
diamati tak ubah sampah
tunggul kayu punya maruah
pantang di kancah menyerah kalah

lepaslah aku pergi
tiada guna ku kasihani
tangisan walau satu perigi
takkan daya memadam api
seksa ku takkan tanggung sendiri
tak tersekat limpahan kreativiti
biarlah aku berteman sepi
bayaran takkan disakiti lagi

walau kaku tunggul kayu
punya rasa berlandas seru
jangan perlekeh kuasa di bucu
andai terkena berlagu sendu
tutur kata tak lagi laku
sembilu kan dibayar sembilu
hari ku mungkin ungu
namun tak segelap tuju hidupmu