Tuesday, January 20, 2009

tika kau lena

antara dengkur dan dengus tak bertujuan
mata ini mengkaji lekuk, susuk dan binaan
tika kau lena
jaga jauh lagi menyapa masa
kantuk terganggu kerna tenang
saat impian bebas menerawang
ku pasang seberapa yang mampu
walau kesudahannya tak lagi tentu

turun naik nafas
sayang bersilih belas
saling melengkap 'cinta'
walau ku akui besar kekurangannya
mata mu tertutup rapat
walau bukan sekadar berehat

kau tak pernah peduli
yang ku rasa hanya rangkul mu tiba pagi
menyampai mukadimah sama sebelum lena
menguji selama mana mampu kau jadi nakhoda
dakap pasca jimak sebentar cuma
sebelum dengkur mu berkumandang bak penggera
mungkin dihasut mimpi
mungkin jua melarikan diri

tika kau lena
mata ini tak pernah lupa
menutup curiga
membuka seluas kemungkinan yang ada
logik dulu, kini dan masa depan
mengimbang mahu hati, akal dan ketentuan
pandangan ku tak pernah kosong
selagi nyawa belum ke kerongkong

aku takkan kata ini kenangan
mungkin hanya ujikaji yang berpanjangan
menduga kewarasan
memperjudi sabar dan perasaan 
menyoal penuh penerimaan
seadanya atau atas desakan
kau hanya tahu menjadi diri mu
aku hanya tahu menjadi aku
yang jelas hanya sehala
banyak dari ku berbanding dia
yang tersurat bukan pinta kita
tapi diri mu seorang saja

tika kau lena
hidup berjalan seperti biasa
aku hanya singgah
namun akhirnya kau menyanggah
beza kan tetap beza
rasa milik mutlak ku jua

tika kau lena
perlahan aku terlepas dari minda

No comments: