Friday, August 15, 2008

kerana lelaki

dia punya rencana
mahukan seorang puteri
namun dikurnia seorang putera
lantas dirinya ditakluk benci
yang terbina runtuh jua
dijamin takkan bersilang lagi
anak itu bertukar penjaga
bakal gigih meniti hari

dia punya rencana
mungkin mahu mewah berharta
namun caranya apa
memesong belanja dana
silih berganti bencana menimpa
Tuhan telah menutup hatinya
kesedaran telah tiada
serik hanya senda

surinya berusaha kuat
walau lelah menanggung uji
jagaannya menghitung hayat
entah bernyawa lagi esok hari
dia membesar sambil merawat
lara jiwa dibeban identiti
kuasa Tuhan dia afiat
kacak, gagah, berdikari

dia punya rencana
hidup seiring fitrahnya
tentu dia juga jatuh cinta
bukan memenuh nafsu semata
apalah perjalanan tanpa duga
resam nakhoda mengharung gelora
walau bahtera kukuh terbina
badai melanda bertarung nyawa

dia punya rencana
kemuncak hidupnya dilimpah jaya
berupaya membalas jasa
mampu memperkasa rasa
berdaya mengecap bahagia
namun manusia tetap manusia
cuai, lalai, leka dan alpa
Tuhan masih mahu menduga

dia punya rencana
mengajar kesayangannya supaya cekal
memerang yang nyata, yang maya
memberi arahan kemudian ditinggal
bimbing tiada merenggut asa
mujur cinta masih menebal
dia berkorban, dia menerima
bagai mengantuk disorong bantal

lari bukan penyelesaian
hadaplah kemungkinan perbuatan
jangan dipindah tekanan
ke bahu yang bukan melakukan
walau dia patuh, penuh kerelaan
itu namanya mengambil kesempatan
jangan nanti menuntut keadilan
sedangkan bukti jelas kelihatan

pulang dia berbekal harapan
mengaut rezeki buat kesayangan
buat melunas niat berzaman
membayar seribu satu tunggakan
namun Dia punya rencana
hanya sebulan dia terdaya
tidak diminta dilayan bak raja
cukup sekadar sebagai manusia

dia punya rencana
mahu memberi hidupnya makna
perancangan ada di kepala
tinggal masa sesuai melaksana
sokong saran untuknya percuma
janji berusaha semampu kudratnya
latar taatnya membantu sedaya
latar azamnya tetap cinta

penuh rahsia senyuman itu
jalan ditempuh sarat berliku
ditangkis yang tidak perlu
direbut peluang yang lalu
pengorbanannya bagai menilai madu
kasih-sayangnya merentas waktu
dia punya rencana baru
kembali ke tempat jiwanya diseru

No comments: