Wednesday, March 12, 2008

pesta

niat, laksana - akhirnya terhidang
modal perangkaan panjang
teliti bertunjang
penghalang disepak terbang
tergamam bintang
carta hidup ditabur belerang
tiba sekitar tegang
bakar - disangka api gemilang

semarak warna terpesona
biru+kuning menafi keahliannya
tak setara rakyat biasa
khuatir sial menimpa
bingung busuk menyinggah busana
cemas cela melekat di anggota
resah kebodohan menumpang sama
sangat huru-hara

pesta
mengalir jeritan jiwa manusia
terpancar jelas di muka
bukan kecoh, hanya bersuara
tak wujud tingkat kasta
sedaya menafi wujudnya ketara
pilihan bukan hak istimewa
kebiasaan yang punya nyawa

meriah - takkan sepi
biru+kuning diangkat tinggi
ya - aku bukan ahli
takkan diimpi walau sekali
diturut langkah kaki
mewarna dunia ku sendiri
pesta takkan berhenti
warna pudar menyepi

buangan

mudah rupanya menyewa mata
meminjam tubuh, segala-gala
menjaya ujikaji buat si kaya
meledak yakin, melonjak sahamnya
kekurangan detik pemula
perkembangan selari masa
tamat waktu dibebas segera
hasil dipamer usaha diharga

takkan ada yang sempurna
halusi sokong saran mereka
jangan diimpi setanding Yusuf
walau melimpah takungan makruf
David dijadikan misal
bisa setara dikurang khayal
deras bertiup angin pengubah
detik mula menjalan idah

tetamu tetap tetamu
itu diminta itu dijamu
faham sedaya jangan keliru
lembutkan akal yang lembab dungu
jangan dihenti alunan lagu
peneman aksi menukar baju
lengkap sepadan angguk setuju
geleng mudah bau cemburu

selamanya buangan
tak pernah kesayangan
walau diperkenan keabadian

Monday, March 10, 2008

ada silam yang sempurna II

datang khabar tak berjemput
pulang berita tak berhantar
tak diimpi disebut-sebut
sudah pupus rasa gentar
rasa berharga undangan disambut
luruh pangkat menyuluh benar
mengenang silam di tepi laut
bersama tinggalan berhati besar

sudah lama dilimpah izin
andai berehat berteman bekas
silam semakin samar di cermin
nikmati perlahan jangan dilekas
hingga ke akhir tali dijalin
tempiar rawak lepas bebas
tanah api air dan angin
jitu berpadu membentuk yang khas

bukan jenayah menyelam dalam
menyerah butir tiada paksaan
timbang dan sukat terpulang azam
mengundang jelak andai berlebihan
pudar parut silam semalam
dibawa ombak ke kejauhan
perlahan-lahan mewujud faham
kekal hadir menyenangkan

Wednesday, March 5, 2008

meniti sisa

telah lengkap putaran bulan
kelana masih berterusan
mujur kesibukan meringan beban
dihibur girang teman-teman
silam berlalu tanpa halangan
mungkin sudah kepenatan
mengupas lapisan demi lapisan
menyukarkan perkongsian

andai diterbang helaian kertas
sarat terlukis cerita tewas
yang tersirat tak pernah jelas
yang tersurat menganyam nafas
ragu, iri semerbak bebas
tak pernah terukir senyuman puas
berat rasa hukuman digalas
masih bertahan berpantang lemas

dilepas jua rembulan dan suria
menjadi saksi memerang gelora
nyata bersabar meminjam mata
memerhati terang dan gelap rasa
tak pernah henti menitip doa
agar kekal memadu asmara
sama, beza terpulang makna
pokoknya semua beroleh lega

lebih

bukan sekadar senyum
bisa diilham dengan jarum
rasa mekar meranum
jauh di jiwa terpapar kagum
baik akhirnya harum
puas berlegar wajar diumum
agar khalayak maklum
tiada guna laku diragum

bukan sekadar senyum
walau gembiranya sebesar gandum
andai bisa embun diminum
sanggup dihadap singa mengaum
perlukah diiya ramalan nujum
kala kebenaran jelas tercium
setiap langkah ada hukum
pandai-pandailah merungkai mafhum

Saturday, March 1, 2008

selamat tinggal

tiada isyarat dia berangkat
bersemuka malaikat
walau detiknya dekat
segala kata terhalang, tersekat
demi membebas yang penat
demi melepas yang tamat
demi memenuh undangan akhirat
demi membukti yang singkat

harapan ku perjalanannya aman
merdeka dari dosa kesalahan
diiring doa dan amal kebajikan
diingati insan kesayangan
harapan ku tiada tangis bercucuran
hidupnya tiada penyesalan
ternyata tiada bandingan
isteri, ibu, nenek, kakak, teman seperjuangan

dingin

dingin malam Jumaat
walau berselubung menutupi kaki
apa punca tak ku sedari
tak timbul pun gundah di hati
mungkin tidak diendah jasmani
tak dilayan derita rohani
ubat diambil mungkir janji
menggigil - tapi tak lupa diri

dingin malam Jumaat
kamar hangat tak dirasai
berat kepala digagahi
menelaah buat esok hari
entah masuk entah sembunyi
entah keluar tak kunjung lagi
sedaya difahami
semoga lancar kala dialiri

dingin malam Jumaat
sumpah, bukan mimpi ngeri
rancak beralun zikir Nasrani
hanya didengar, bukan dihayati
penawar tidur jam empat pagi
setengah jam hanya didapati
mungkin ia mengerti
sebentar lagi Subuh menjejaki

dingin malam Jumaat
hikmahnya takkan ku ketahui
mujur pagi menghulur insani
walau dingin tak lepas pergi
dihadiah senyum buat yang mengerti
isyarat ku simpan sendiri
dilepas keluar jatuh mrngkhianati
aku takkan lama lagi di sini